Kisah Nabi Musa

Dengan nama Al-Lah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

(28:1) Tha Sin Mim. (28:2) Inilah ayat-ayat Kitab yang jelas. (28:3) Kami bacakan kamu sesuatu daripada berita Musa dan Firaun dengan benar untuk kaum yang percayai. 

(28:4) Sesungguhnya Firaun meninggi di bumi, dan dia pecah belahkan penduduknya kepada golongan-golongan, menghinakan segolongan antara mereka, mengorbankan anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup perempuan-perempuan mereka; sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang buat kerosakan.  (28:5) Namun begitu, Kami hendak berbudi baik kepada orang-orang yang dihina di bumi, dan Kami lantik mereka imam-imam, dan Kami buat mereka pewaris-pewaris, (28:6) dan Kami teguhkan mereka di bumi, dan Kami lihatkan kepada Firaun, dan Haman, dan tentera mereka, apa yang mereka takuti. 

(28:7) Maka Kami wahyukan ibu Musa, “Susukanlah dia, kemudian apabila kamu takut terhadapnya, lemparlah dia ke laut, dan jangan takut, dan jangan juga sedih, kerana Kami akan kembalikan dia kepada kamu, dan akan melantiknya seorang daripada para utusan.” 

(28:8) Lalu keluarga Firaun memungutnya untuk menjadi musuh, dan kesedihan bagi mereka; sesungguhnya Firaun, dan Haman, dan tentera mereka, adalah antara orang-orang yang bersalah. (28:9) Berkata isteri Firaun, “Dia akan jadi satu pendingin mata (kegembiraan) bagiku dan bagi kamu.  Jangan membunuhnya; mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita, atau kita ambil dia sebagai anak.”  Dan mereka tidak sedar. 

(28:10) Pada paginya, hati ibu Musa jadi kosong, dan dia hampir-hampir nampakkan dia sekiranya Kami tidak kuatkan hatinya, supaya dia (ibu Musa) termasuk orang-orang mukmin. (28:11) Dan dia berkata kepada saudara perempuannya, “Ikutlah dia”, dan dia melihatnya dari jauh, sedang mereka tidak sedar. (28:12) Dan Kami haramkannya sebelum itu daripada mana-mana perempuan yang menyusukan; maka dia berkata, “Bolehkah aku tunjukkan kamu kepada keluarga daripada seisi rumah yang akan menjaganya untuk kamu, dan mengasuhnya?” (28:13) Maka Kami kembalikan dia kepada ibunya, supaya dia gembira dan tidak sedih, dan supaya dia tahu bahawa janji Al-Lah adalah benar; tetapi kebanyakan mereka tidak tahu. 

(28:14) Dan apabila dia dewasa, dan dia tegap, Kami beri dia putusan, dan pengetahuan; begitulah Kami balas orang-orang buat baik. (28:15) Dan dia masuk kota sewaktu penduduknya sedang lalai, dan dia dapati di dalamnya dua orang lelaki sedang berperang; yang satu adalah daripada golongannya sendiri, dan lain, daripada musuhnya.  Kemudian yang daripada golongannya minta pertolongan kepadanya terhadap musuhnya; maka Musa menumbuknya, dan menentukannya (matikannya), dan berkata, “Ini adalah daripada amalan syaitan; sesungguhnya ia musuh yang menyesatkan, yang nyata.” (28:16) Berkata, “Wahai Pemeliharaku, aku telah menzalimi diriku.  Ampunkanlah aku.”  Maka Dia ampunkannya; sesungguhnya Dialah Yang Pengampun, Yang Pengasih. (28:17) Berkata, “Wahai Pemeliharaku, dengan apa yang Engkau rahmati aku, maka aku tidak menjadi penyokong orang-orang yang berdosa.” (28:18) Pada waktu pagi, dia berada di kota, takut-takut dan berjaga-jaga; dan tiba-tiba, orang yang minta pertolongannya kelmarin minta pertolongan kepadanya lagi.  Musa berkata kepadanya, “Sesungguhnya kamu adalah orang yang bersalah yang nyata.” (28:19) Tetapi apabila dia hendak menyerang orang yang menjadi musuh kepada mereka berdua, orang itu berkata, “Wahai Musa, adakah kamu hendak bunuh aku sebagaimana kamu bunuh satu jiwa kelmarin?  Kamu hanya hendak jadi penindas di bumi; kamu tidak hendak jadi daripada orang-orang yang membetulkan.” (28:20) Kemudian datang seorang lelaki dari bahagian kota yang terjauh, berlari; dia berkata, “Wahai Musa, pembesar mereka sedang bermuafakat untuk membunuh kamu.  Keluarlah kamu, aku termasuk penasihat-penasihat kamu.” 

(28:21) Maka dia keluar darinya, takut-takut dan berjaga-jaga; dia berkata, “Wahai Pemeliharaku, selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” (28:22) Dan apabila dia hadapkan mukanya ke arah Madyan, dia berkata, “Mudah-mudahan Pemeliharaku beri petunjuk kepadaku pada jalan yang betul.”

(28:23) Dan apabila dia sampai di perairan Madyan, dia dapati satu umat manusia di sana yang memberi minum, dan dia dapati, selain daripada mereka, dua orang perempuan sedang menahan ternak mereka. Berkata, “Apakah urusan kamu berdua?”  Mereka berkata, “Kami tidak dapat beri minum sehingga gembala-gembala halau, dan bapa kami telah lanjut usia tuanya.” (28:24) Maka dia memberi minum untuk mereka; kemudian dia berpaling ke tempat teduh, dan dia berkata, “Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku fakir (memerlukan) apa-apa kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.” (28:25) Kemudian datang seorang daripada keduanya kepadanya, berjalan dengan malu, dan berkata, “Bapaku seru (panggil) kamu supaya dia balas kamu dengan upah kerana kamu beri minum untuk kami.”  Maka apabila dia datang kepadanya, dan ceritakan kepadanya ceritanya, dia berkata, “Jangan takut, kamu selamat daripada kaum yang zalim.” 

(28:26) Berkata seorang daripada keduanya, “Ayah, ambillah upahan dia; sesungguhnya orang paling baik yang anda ambil upahan ialah yang kuat, dipercayai.” (28:27) Berkata, “Aku hendak kahwinkan kamu dengan seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan kamu mengambil upah daripada aku selama lapan tahun.  Jika kamu sempurnakan sepuluh, itu adalah daripada kamu; aku tidak hendak beratkan kamu.  Kamu akan dapati aku, jika Al-Lah hendaki, termasuk orang-orang salih.” (28:28) Berkata, “Demikian itulah antara aku dan kamu.  Yang mana sahaja daripada dua tempoh yang aku tunaikan, ia tidak ada permusuhan padaku; dan Al-Lah wakil atas apa kita kata.”

(28:29) Maka apabila Musa telah sempurnakan tempoh, dan dia berpergian dengan keluarganya pada malam hari, dia melihat api di tepi gunung.  Dia berkata kepada keluarganya, “Tetaplah kamu di sini; aku lihat api.  Mudah-mudahan aku akan datangkan kepada kamu beritanya, atau berkas kayu daripada api, supaya kamu dapat panaskan diri-diri kamu.” (28:30) Apabila dia datang kepadanya, dia dipanggil dari tebing sebelah kanan lembah di tempat yang lekuk yang diberkati, datang dari pokok, “Wahai Musa, sesungguhnya Aku Al-Lah, Pemelihara semua alam. (28:31) Lemparlah tongkat kamu.”  Dan apabila dia melihatnya menggetar-getar seperti seekor ular, dia berpaling, berundur, dan tidak menoleh.  “Wahai Musa, tampillah ke muka, dan jangan takut; sesungguhnya kamu aman. (28:32) Selitkanlah tangan kamu ke dalam dada kamu, dan ia akan keluar putih tanpa keburukan; dan dakapkanlah kepada kamu tangan kamu supaya tidak gerun.  Maka inilah dua bukti daripada Pemelihara kamu kepada Firaun, dan pembesar-pembesarnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq.” (28:33) Berkata, “Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku telah membunuh satu jiwa daripada mereka, dan aku takut bahawa mereka akan bunuh aku. (28:34) Dan saudaraku Harun lebih fasih lidahnya (lisannya) daripada aku.  Utuslah dia bersama aku sebagai pembantu, dan untuk mengesahkan aku kerana aku takut mereka akan dustakan aku.” (28:35) Berkatalah Dia, “Kami akan kuatkan tangan kamu dengan saudara kamu, dan Kami buatkan kamu satu kuasa supaya mereka tidak sampai kepada kamu kerana ayat-ayat Kami; kamu, dan sesiapa yang ikut kamu, adalah orang-orang yang menang.”

(28:36) Maka apabila Musa datang kepada mereka dengan ayat-ayat Kami, bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, “Tiadalah ini, melainkan sihir yang diada-adakan.  Kami tidak pernah dengar yang ini di kalangan bapa-bapa kami yang dahulu.” (28:37) Tetapi Musa berkata, “Pemeliharaku sangat-sangat tahu siapa yang datang dengan petunjuk daripada-Nya, dan siapa yang dapat tempat kediaman muktamad; sesungguhnya orang-orang zalim tidak beruntung.” (28:38) Dan Firaun berkata, “Wahai pembesar-pembesar, aku tidak tahu bahawa kamu ada tuhan selain daripada aku!  Nyalakan api untukku, wahai Haman, pada tanah liat, dan buatkan untukku sebuah menara yang tinggi, supaya aku dapat lihat Tuhan Musa, kerana aku sangka dia termasuk pendusta-pendusta.” (28:39) Dan dia berlaku sombong di bumi, dia dan tenteranya, dengan cara yang salah; dan mereka sangka mereka tidak dikembalikan kepada Kami.

(28:40) Lalu Kami ambil dia dan tenteranya, dan lempar mereka ke dalam laut; maka perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang zalim. (28:41) Dan Kami lantik mereka imam-imam yang menyeru ke Api; dan pada Hari Kiamat, mereka tidak ditolong. (28:42) Dan Kami ikut mereka di dunia ini dengan laknat, dan pada Hari Kiamat, mereka jadi antara yang dibenci. 

(28:43) Dan Kami beri Musa al-Kitab, setelah Kami musnahkan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi bukti-bukti yang nyata, dan satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi manusia supaya mereka mengingati.