Press "Enter" to skip to content

MENGAPA ORANG KRISTIEN SEJATI TIDAK MENGGUNAKAN SALIB DALAM PENYEMBAHAN

Mengapakah Orang Kristian Sejati Tidak Menggunakan Salib dalam Penyembahan?

SALIB dipuja dan dimuliakan oleh berjuta-juta orang. The Encyclopædia Britannica menyatakan bahawa salib ialah “simbol utama agama Kristian.” Walau bagaimanapun, orang Kristian sejati tidak menggunakan salib dalam penyembahan mereka.

Mengapa?

Satu sebab yang penting adalah kerana Yesus Kristus tidak mati pada salib begitu. Pada umumnya, perkataan Yunani bagi “salib” ialah stau·rosʹ. Perkataan ini membawa erti “sebatang kayu atau tiang yang tegak.” The Companion Bible menyatakan, “[Stau·rosʹ] tidak pernah membawa erti dua batang kayu yang dipasang bersilang pada sudut yang tertentu… Tidak ada apa-apa yang dinyatakan dalam bahasa Yunani dalam [Perjanjian Baru] yang memberikan gambaran dua batang kayu.”

Satu lagi perkataan digunakan untuk merujuk kepada alat yang dikaitkan dengan kematian Yesus. Perkataan Yunani yang dimaksudkan ialah xyʹlon. (Galatia 3:13) Perkataan ini bererti “kayu” atau “sebatang tongkat, belantan, atau pokok.”

Dalam buku Hermann Fulda yang berjudul Das Kreuz und die Kreuzigung (Salib dan Penyaliban), dia menjelaskan mengapa hanya sebatang tiang yang ringkas sering digunakan semasa hukuman mati dijalankan. Buku ini menyatakan, “Pokok-pokok tidak didapati di setiap tempat yang dipilih untuk menjatuhkan hukuman awam. Jadi sebatang kayu yang ringkas ditancapkan ke dalam tanah. Tangan penjenayah dinaikkan ke atas dan diikat atau dipakukan pada kayu. Sering kali kaki penjenayah juga diikat atau dipakukan pada kayu ini.”

Namun, bukti yang paling meyakinkan boleh didapati dalam Firman Tuhan. Hawari Paulus berkata, ‘Kristus telah membebaskan kita daripada kutukan yang didatangkan oleh Taurat. Dia melakukan hal ini dengan membiarkan dirinya terkutuk kerana kita. Di dalam Alkitab tertulis, “Terkutuklah orang yang mati digantung pada pokok.”’ (Galatia 3:13, ABB) Dalam ayat ini, Paulus memetik ayat daripada Ulangan 21:22, 23. Ayat ini merujuk kepada sebatang tiang, dan bukannya salib. Ya, pelaksanaan hukuman mati dalam cara ini menjadikan seseorang “terkutuk.” Jadi tidak  sesuai jika orang Kristian menghiasi rumah mereka dengan patung Yesus di atas salib.

Selama 300 tahun selepas kematian Kristus, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa mereka yang mengaku diri sebagai orang Kristian menggunakan salib dalam penyembahan mereka. Tetapi, pada abad keempat, maharaja kafir yang bernama Konstantin telah memeluk agama Kristian yang sesat dan menggalakkan penggunaan salib sebagai lambang agama Kristian. Biar apa pun niat Konstantin, salib tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Yesus Kristus. Sebaliknya, salib mempunyai asal usul kafir. New Catholic Encyclopedia mengakui, “Penggunaan salib didapati dalam kebudayaan orang pra-Kristian dan orang bukan Kristian.” Pelbagai sumber yang boleh dipercayai turut mengaitkan salib dengan penyembahan alam dan upacara kesuburan orang kafir.

Jadi, mengapakah penggunaan simbol kafir ini digalakkan? Nampaknya, hal ini dilakukan supaya lebih mudah bagi orang kafir untuk menerima agama Kristian palsu. Walau bagaimanapun, pemujaan simbol atau lambang kafir jelas sekali dikutuk di dalam Bible. (2 Korintus 6:14-18) Bible juga melarang semua bentuk penyembahan berhala. (Keluaran 20:4, 5; 1 Korintus 10:14) Maka, orang Kristian sejati tidak menggunakan salib dalam penyembahan mereka atas sebab-sebab yang kukuh.

Suka(0)Tak Suka(0)
Is this Post useful? Useful Useless 0 of 0 people say this Post is useful.