DATO’ LUNDANG Pembesar & Raja Lundang Terakhir

TM 1867-1910 (Mangkat 1926)

Nama tubuhnya Nik Wan Musa Bin Wan Hassan. Beliau antara tokoh Pembesar yang paling masyhur dalam sejarah Kelantan pada akhir abad ke-19. Merupakan menantu kepada Dato’ Besar melalui Puterinya Wan Limah. Hasil daripada Perkahwinan Suami Isteri ini telah dikurniakan empat orang putera iaitu Nik Wan Ahmad atau timangan panggilannya Nik Mat, Nik Mahmud, Nik Hassan dan Nik Man. Dalam konteks Sejarah tempatan Kampung Lundang pula, Beliau menjadi Raja Lundang (PENGGAWA LUNDANG) yang paling lama diantara sekelian pendahulunya, iaitu selama 43 tahun, mulai mewarisi selepas dari mangkat mertuanya Dato’ Besar pada tahun 1867 sehingga kepada kuasa Pemerintahan Tradisional Kerajaan Tempatan bagi Daerah Lundang dihapuskan pada tahun 1910, berikutan berlakunya pembaharuan sistem politik dan pentadbiran keatas Negeri yang telah diperkenalkan oleh Penasihat British diKelantan.

Ayahndanya, Wan Hassan merupakan Putera sulong kepada Wan Ku Sulaiman dengan isterinya Wan Kembang, puteri kepada Haji Wan Ahmad Perdana Menteri Patani yang masyhur dengan panggilan Tuk Celagi itu, dimana makamnya terletak dalam kompleks KADA Lundang sekarang. Wan Hassan yang bergelar Dato’ Lela Perkasa Muda adalah merupakan Pembesar Kelantan yang menjawat jawatan sebagai Panglima Dalam. Wan Hassan pernah terlibat bersama-sama Engku Selia Raja Long Mansur pada tahun 1894 dalam upayanya membawa Tok Gajah dan beberapa Orang lagi Pejuang Pahang termasuk Dato’ Bahaman yang berlindung diri diKelantan bagi menempatkan mereka diKemuning dari buruan pihak Inggeris. Akibatnya, kedua-dua bersaudara ini bersama-sama beberapa orang kanannya lagi ditangkap oleh Siam serta kemudian dipenjarakan diNegeri Siam pada penghujung tahun berkenaan. Pada waktu itu, anakndanya Nik Wan Musa sudah pun menjadi Pembesar bergelar Dato’ Panglima Perang Lundang yang ke IV.

Menakala Nendanya, Wan Ku Sulaiman yang juga bergelar Dato’ Lela Perkasa Tua, iaitu Panglima Dalam sebelumnya merupakan Pengasas atau Pembuka Kampung Pasir Jelatang yang terletak disebelah timur Kampung Pasir Hor Kota Bharu sekarang. beliau merupakan Adinda bongsu kepada Dato’ Mekong Raja Lundang III iaitu Putera-putera kepada Dato’ Panglima Perang (Tuan Lebar Bin Tuan Khomis).

Pada masa mula-mula Nik Wan Musa dilantik menjadi Raja Lundang V dan menerima perlantikan jawatan Pembesar ini, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad II telah menyelaraskan nama-nama panggilan rasmi bagi Pembesar-Pembesar yang mempunyai kawasan-kawasan untuk ditadbir atau memerintah. Tidak sepertimana duhulunya, panggilan ditetapkan sendiri oleh Pembesar. Dalam hal ini, Nik Wan Musa selaku Pembesar tertinggi Negeri merangkap Raja Lundang yang berkuasa memerintah keatas kawasan bagi seluruh Daerah Lundang telah ditetapkan dengan panggilan rasmi dipanggil sebagai Dato’ Lundang. Sepertimana pada tempat-tempat lain juga, perubahan panggilan secara rasmi ini turut berlaku antaranya ialah masing-masing bagi panggilan; Dato’ Kadok, Dato’ Banggol, Dato’ Badang, Dato’ Tumpat, Dato Banglawan dan Dato’ Labok.

Dato’ Lundang diketahui seorang yang bersikap rendah diri dan penyayang tetapi tegas. Beliau merupakan anak murid kepada dua orang tokoh ulama’ masyhur iaitu; Haji Nik Zainal Abidin Bin Nik Ismail, lebih terkenal sebagai Tuk Konok yang merupakan guru Al-Qurannya dan Tuan Guru Haji Abdul Somad Bin Haji Abdullah, lebih masyhur dipanggil Tuk Pulai Condong sebagai guru Kebatinan dan Kependekaran selain daripada pengajaran ilmu Ugama kepada beliau.

Di dalam segala urusan mesyuarat atau perbincangan bersama Orang Besarnya, beliau tidak sepertimana seorang Pembesar yang lazimnya dengan selalu memberi kata putus. Sebaliknya beliau merujuk terlebih dahulu kepada kerabatnya yang lebih tua, antaranya tidak lain ialah iparnya sendiri, Tuk Kaya Lundang atau nama sebenarnya Wan Ishak putera Dato’ Besar yang bergelar Orang Kaya Panglima Amar D’Raja Lundang.

Selain itu, Dato’ Lundang juga diketahui telah menolak anugrah daripada Sultan berupa tanah kawasan yang seluas beliau mahukan dimana mana sahaja tempat beliau hajati, sebaliknya dengan memohon ampuni daripada Baginda Sultan supaya hukuman mati jika ada yang telah dithabitkan keatas Rakyat Lundang atas sesuatu kesalahan berat dengan lain-lain hukuman yang setimpal seperti penjara seumur hidup atau sebagainya yang tidak mendatangkan kepada jalan hukuman mati.

Pada penghujung tahun 1895, iaitu ketika Ayahndanya Wan Hassan masih lagi dipenjarakan diBangkok, Siam. Sultan Mansur, Raja Pemerintah Kelantan yang telah ditekan oleh pihak berkuasa Siam telah menghantar suatu utusan diketuai oleh Dato’ Lundang dan Dato’ Kadok (Nik Wan Ahmad Bin Wan Abdullah) bersama-sama wakil Pihak Berkuasa Siam melalui pegawainya, Luang Pati Phark Racha Kum serta puluhan askar Siam mudek kehulu Kelantan bagi bertemu dengan Mat Kilau, Mat Kelantan, Dato’ Bahaman dan beberapa orang lagi Pejuang Pahang ini didalam satu penjamuan. Sebenarnya tindakan pihak Siam ini adalah bagi memenuhi permintaan daripada Kerajaan Inggeris bagi menangkap Pejuang Pahang yang dianggap mereka sebagai Penderhaka itu.

Sesudah daripada majlis Penjamuan itu, persetujuan pun telah dicapai diantara Pejuang Pahang dengan Pihak Siam yang telah berjaya memperdayakan mereka bahawa akan diperlindungi didalam Istana Kota Bharu . Dan kesemua mereka telah dibawa keperahu dengan cara dibelenggukan. Pada tahap ini, seorang daripada Pejuang Pahang iaitu Mat Kilau dikatakan tidak diberi tangan. Akibatnya, beliau diserang dan dipukul oleh askar Siam hingga kepada jatuh pengsan. Kesemua Pejuang Pahang yang lain termasuk kedua utusan Kerajaan Kelantan iaitu Dato’ Lundang dan Dato’ Kadok bersimpati, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan ini –Kerajaan Siam- ingat! Kelantan ketika ini berada dibawah naungan penuhnya dan paling penting adalah Ayahnda Dato’ Lundang, Wan Hassan gelar Dato Lela Perkasa Muda dipenjara oleh Siam dIBangkok kerana terlibat bersama-sama Engku Selia Raja Long Mansur pada tahun sebelumnya dalam upayanya membawa Tok Gajah dan Dato’ Bahaman serta beberapa Orang lagi Pejuang Pahang yang berlindung diri dihulu Kelantan bagi menempatkan mereka diKemuning.

Setelah semalaman di atas perahu, akhirnya rombongan ini sampai keKota Bharu, namun begitu, kesemua Pejuang Pahang ini tidak dibawa naik sepertimana pada janji Pihak Siam kecuali Mat Kilau yang pengsan itu, yang pada pengamatan mereka, Mat Kilau sudah mati. Lalu ‘’mayatnya’’ diserahkan kapada Sultan Kelantan untuk diurus. Adapun Pejuang-pejuang Pahang yang lain segera dibawa keBenua Siam untuk dipenjarakan. Setelah mayat Mat Kilau diserahkan kepada Sultan didapati tidak mati, sebalikya hanya pengsan sahaja. Maka oleh Supaya tidak diketahui Pihak Siam, Sultan Kelantan memerintahkan Mat Kilau lari ketempat lain. Menakala Pihak Sultan telah mengadakan upacara Pengbumian Palsu diKampung Bunut Payung dengan ditanamkan batang pisang.

Pada tahun 1909, berikutan daripada Perjanjian British-Siam, yang mana Kelantan diserah oleh Siam kepada Inggeris serta kemudian pula pada tahun berikutnya -1910- iaitu dengan termetrainya surat setia diantara Kerajaan Kelantan dengan British, maka bermulalah Pentadbiran British di Kelantan secara ‘’penuh’’ ini. Kesan daripada Pentadbiran British ini ialah berakhirnya corak Tradisional Kuasa Pemerintahan Kerajaan Tempatan Daerah Lundang yang dipegang oleh keluarga Raja-raja Lundang ini sejak dari tahun 1762 lagi. Turut berakhir ialah jawatan Pembesar Negeri sebagai Panglima Perang bergelar Dato’ Panglima Perang Lundang yang kesemuanya diwarisi secara turun temurun.

Sebelumnya iaitu pada tahun 1904, Daerah Lundang telah dimasukkan kedalam Pentadbiran Jajahan Kota Bharu, akan tetapi Kuasa Pemerintahan Tradisional bagi Daerah Lundang masih lagi tetap utuh. Namun, selepas tahun 1910 ini, barulah Daerah Lundang telah diambil alih secara penuh dan ditadbir secara moden yang diKetuai oleh Penggawa (sebelum itu dipanggil Tok Kweng) yang dahulunya Tok Kweng ini berada dibawah kuasa dan perintah Raja raja Lundang. Oleh kerana sistem baharu ini, maka jawatan Tok Kweng dinaiktaraf sebagai ketua daerah dan dijenamakan dengan panggilan Penggawa yang mana ia bertangungjawab kepada Ketua Jajahan Kota Bharu sepenuhnya. Selain itu, segala hasil mahsul serta hasil cukai yang sebelum ini dinikmati oleh Raja raja Lundang telah ditarik dimana apabila sistem baharu ini dilaksanakan, Penggawa berperanan mengutip dan menyerahkan terus kepada Perbendaharaan Negeri diKota Bharu. Penggawa pertama Daerah Lundang pada masa selepas Pentadbiran Moden yang diperkenalkan oleh Penasihat British itu dilaksanakan bernama Nik Hassan iaitu tidak lain adalah putera kepada Dato’ Lundang dan berpejabat diKg. Kubang Kerian (tepatnya dikawasan tapak tangki air AKSB kubang kerian sekarang). Namun tidak lama, selepas Nik Hassan, jawatan Penggawa Daerah Lundang ini kemudian diserahkan kepada menantunya bernama Haji Mahmud.

Akibat dari perubahan sistem Pentadbiran Kelantan yang baharu ini, Dato’ Lundang kemudian diberi Pencen seumur hidup. Walaubagaimana pun Pengaruhnya tetap masih lagi kuat dan sangat diperlukan oleh Kerajaan dalam mengendalikan beberapa perkara penting sehinggalah mangkat pada tahun 1926 dalam usia 87 tahun. jenazahnya telah dimakamkan berhampiran dengan makam Iparnya, Orang Kaya Lundang putera Dato’ Besar diTanah Perkuburan Besar Mukim Lundang iaitu bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Lundang sekarang.

Akhirnya patut dicatat bahawa, pada tahun-tahun awal dekad 90an, Kerajaan Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu serta dengan berkat usaha gigih beberapa Orang Aktivis Kampung Lundang yang diketuai Allahyarham Cikgu Mad Abbas sebagai aktivis Sejarah Lundang pada waktu itu telah mengambil inisiatif dengan menukarkan nama baharu bagi sebatang jalan raya mulai dari Simpang tiga hadapan Kompleks Balai Islam Lundang hingga keSimpang empat Kampung Cherang yang dahulunya dipanggil sebagai Jalan Yaakobiah kepada nama – Jalan Dato’ Lundang- penamaan ini adalah bagi maksud mengenang nama tokoh ini serta jasa-jasa besarnya dalam Negeri kepada kalangan masyarakat Lundang umumnya serta rakyat Kelantan amnya.

Artikel Simpanan; Long Muhammad Hj. Wan Mohd Noor

0
0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *