blog juga

BENARKAH CINTA ADALAH SEGALA-GALANYA

Sehingga saat ini, perkataan cinta masih menjadi suatu misteri yang menimbulkan banyak anggapan. Ada yang merasakan telah mengetahuinya, ada yang melarikan diri darinya, ada yang masih mencari apa ertinya, ada yang sedang menikmatinya, ada yang sedang menderita kerananya dan seribu satu perkara.

Benarkah cinta adalah segala-galanya. Dari hari ke sehari, saya lihat orang sedang mengajak mencari cinta yang abadi, mencari cinta yang sebenar dan mereka mengatakan cinta yang paling agong ialah cinta kepada tuhan. Benarkah begitu.

Saya sudah melihat kerana cinta, orang membuat kesyirikan, kerana cinta orang menikmati murka tuhan, kerana cinta orang melakukan dosa. Seolah-olah cinta benar-benar mampu membuat orang menjadi buta.

Adakah kerana saya ungkapan cinta dengan begitu buruk, orang akan menuduh saya membenci cinta, atau sebenarnya saya seorang yang agongkan cinta. Biarlah hanya kepada tuhan sahaja saya serahkan.

Cinta ialah kandungan hati yang mendalam terhadap sesuatu. Bagaimanakah ia boleh menusuk masuk jauh ke dalam lipatan hati ini. Atau apakah puncanya ia menjadi ada di dalam hati ini.

Adakah ia menjadi ada, atau ia berputik setelah dia mendapat sumbernya dari luar. Melalui jalan apakah ia berputik di dalam hati ini. Adakah melalui mata, telinga atau ia masuk melalui bau yang dihidu oleh hidung. Adakah ada jalan lain lagi dia masuk.

Adakah yang masuk itu adalah cinta itu sendiri atau yang dicintai yang masuk ke dalam hati ini dan membenihkan cinta. Seolah-olah cinta adalah hasil pembenihan yang dicintai dan percikan bunga api hati yang bergabung menjadi cinta.

Ah! begitu jauh saya mengajak tuan masuk ke dalam hati sehingga melupakan jasad yang lain. Keluarlah, dan marilah kita lihat apa yang dilakukan oleh anggota yang lain akibat dari cinta yang telah berputik ini.

Orang boleh melakukan segala-galanya kerana memenuhi keinginan cintanya. Ada yang menjadi patuh kerana cinta. Ada pula orang yang ingin memiliki apa yang dicintainya dengan jalan apa sahaja. Ramai juga yang sanggup berkorban dirinya demi memenuhi kepuasan suatu yang dicintainya dan sanggup korbangkan sesiapa sahaja untuk memenuhi rasa cintanya. Mungkin pada sesempatan yang lain, saya diberikan peluang untuk berkongsi kisah-kisah ini.

Ada orang beritahu, cinta adalah taqwa. Benarkah cinta adalah taqwa atau sebenarnya taqwa yang menuntun cinta supaya cinta itu digunakan dengan betul. Ya, mungkin kedua-duanya pernah berlaku. Ada yang cintanya menyebabkan mereka menjadi taqwa dan ada juga orang yang menjadikan taqwa sebagai barang berharganya untuk mengawal cinta.

Jika tuan yang memilih cinta menjadi taqwa, tuan ialah yang meletakkan cinta di hadapan. Saya memilih untuk meletakkan taqwa di hadapan cinta. Atau tuan ada pilihan yang lain.

Zaman ini saya lihat orang sudah tidak bercakap tentang taqwa, adakah dia sudah tenggelam di dalam cinta kerana orang telah mengatakan apabila berbicara tentang cinta, ia telah merangkumi tentang taqwa.

Saya yang melihat taqwa suatu yang masih menjadi keutamaan, menjadi pencari-pencari dan merindui suara-suara mengajak taqwa diucapkan kembali, dan diucapkan dengan nyata.

 

Suka(0)Tak Suka(0)
Is this Post useful? Useful Useless 0 of 0 people say this Post is useful.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *